Superitenden Dzulkhairi Mukhtar

JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang maut selepas terjatuh ke dalam sebuah mesin pengisar membuat mozek di Taman Perindustrian Nusa Cemerlang di Iskandar Puteri, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata ,lelaki berkenaan, Fenddy Asim, 19, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan bahu.

“Ketika kejadian kira-kira 11.30 pagi, mangsa (Fenddy) sedang tunduk melakukan pembersihan pada mesin tersebut dan secara tiba-tiba mesin itu telah berputar menyebabkannya terjatuh lalu kepala dan bahunya terkena mesin.

“Seorang rakan sekerja mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut bergegas mematikan suis mesin dan kemudian memanggil rakan sekerja lain untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam mesin tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, Fenddy dibawa ke klinik berhampiran pada 11.35 pagi untuk rawatan namun dia yang berlumuran darah di bahagian kepala dan telinga, disahkan meninggal dunia oleh doktor.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang kesalahan jenayah. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk ujian calitan COVID-19 dan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast