Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz
Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi membantu siasatan terhadap keterangan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner, di mahkamah Brooklyn, New YorK, Amerika Syarikat.

Presiden Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa, sebagai salah seorang yang memegang jawatan penting dalam menjayakan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi Tanjung Energy Group, Nazlan telah menerima dorongan sogokan rasuah.

Tambah beliau, sekiranya dakwaan berkenaan benar, Mohd Nazlan tidak sepatutnya terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB kerana wujudnya konflik kepentingan.

“Persoalannya jika perkara ini disiasat oleh SPRM dan ianya benar bagaimana seorang hakim yang ada penglibatan secara langsung di dalam 1MDB, boleh mengadili kes yang sebesar ini melibatkan diri beliau sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Syed Muhammad Imran berkata, menurut pendedahan portal, Mahazalimreturns, Nazlan adalah setiausaha kepada Lembaga Pengarahdan juga Ketua Bahagian Korporat dan Perundangan Maybank yang menjurus kepada konflik kepentingan jika beliau mengendalikan kes 1MDB dan SRC International.

Tambah beliau, berikutan itu kes 1MDB perlu dibicarakan semula dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC International perlu dibatalkan sekiranya dakwaan yang mengaitkan Mohd Nazlan itu didapati benar. 

“Ini satu conflict of interest (konflik kepentingan) yang besar dan seharusnya jika Yang Arif Datuk Mohd Nazlan terlibat maka kes ini harus dibicarakan semula atau dibuang terus.

“Mahkamah Rayuan berpandukan hukuman Mahkamah Tinggi, jika Hakim Mahkamah Tinggi mempunyai kesalahan yang besar, kes itu harus dibicarakan semula dan segala hukuman kepada Datuk Seri Najib harus dibatalkan,” ujarnya.

Sementara itu, Syed Muhammad Imran memberitahu, beliau telah menyerahkan dokumen yang didedahkan oleh akaun Twitter Mahazalim, termasuk minit mesyuarat yang memetik nama Mohd Nazlan kepada SPRM pada hari ini.

“Saya turut menyerahkan beberapa dokumen yang ada di dalam portal Mahazalim di dalam Twitternya lebih kurang 13 muka surat, mengandungi minit mesyuarat mengandungi nama Yang Arif (Nazlan) yang ketika itu belum menjadi hakim adalah peguam korporat bagi Maybank. Tiga kali nama beliau disebut dalam minit mesyuarat ketika itu .

“Saya harap pihak SPRM dapat menyiasat kes ini setelusnya dan memanggil Yang Arif tersebut untuk siasatan secepat mungkin,” jelasnya.

Semalam, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulah berkata, Mohd Nazlan sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, ia berikutan dakwaan berhubung peranan Mohd Nazlan dalam pinjaman dana oleh 1MDB daripada Maybank bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (Tanjong).

Shafee berkata, Mohd Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya mendedahkan jawatan terdahulunya pada 2012, iaitu selaku setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank).-MalaysiaGazette