Datuk Mohd Kamarudin Md Din.-Foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2022. Nicky Liow surrenders turns himself in
Datuk Mohd Kamarudin Md Din.-Foto FAREEZ FADZIL, 05 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura pada 29 dan 30 Mac ini untuk mengumpul maklumat atau keterangan berhubung kes suami bekas Gabenor Bank Negara Datuk Dr Tawfiq Ayman yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura bersetuju pasukan penyiasat PDRM ke negara itu.

Beliau berkata siasatan kes itu melibatkan keterangan di Malaysia serta Singapura, dan CAD sebelum ini memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat atau dokumen secara on intelligence basis dengan pegawai penyiasat JSJK.

“Kertas siasatan polis telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya pada Oktober lepas dan arahan diterima daripada AGC untuk PDRM mendapatkan keterangan di Singapura yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia.

“Ekoran arahan ini, JSJK telah berkomunikasi dengan CAD untuk pasukan penyiasat PDRM pergi ke negara itu mendapatkan maklumat lanjut bagi membolehkan polis mengemukakan permohonan di bawah Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 melalui AGC,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata pihak berkuasa di Singapura telah memberi persetujuan untuk pasukan penyiasat PDRM ke negara itu pada Disember 2021 dan Februari lepas namun tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.

“Antaranya adalah penggantungan sementara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin antara Malaysia dengan Singapura mulai 23 Dis tahun lepas hingga 20 Jan lepas dan pegawai penyiasat menjadi kontak rapat yang kemudian positif COVID-19 pada Februari lepas.

“Keadaan ini menyebabkan pegawai penyiasat tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke negara itu,” katanya.

Beliau berkata respons juga belum diterima daripada saksi yang merupakan warga Singapura mengenai kesediaan mereka untuk ditemu bual oleh pasukan penyiasat PDRM.

Selain itu, siasatan terhadap Tawfiq berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berjalan.

Mohd Kamarudin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Apa jua kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak.

“PDRM komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast