Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan seramai 41 atlet tidak disambung kontrak sebagai atlet negara.

Daripada jumlah itu seramai 20 atlet menyertai Program Podium manakala baki 21 orang mengikuti program Pelapis Kebangsaan.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, antara kerugian bagi atlet Program Pelapis Kebangsaan ialah usia mereka masih muda dan memerlukan lebih banyak lagi latihan yang konstruktif kerana mereka adalah daripada kalangan yang terbaik.

Namun katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) melalui Mesyuarat bersama Pengarah – Pengarah Majlis Sukan Negeri pada 1 Mac lalu telah memaklumkan atlet berkenaan akan ditawarkan semula ke program berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Kerajaan Negeri melalui MSN Selangor komited memastikan atet ini sentiasa aktif berlatih di pusat latihan negeri, pusat latihan persatuan kebangsaan mahupun di universiti.

“Atlet ini sentiasa diberi sokongan moral sebagai dorongan untuk berlatih lebih gigih supaya dapat menyertai kejohanan, sekali gus meningkatkan prestasi mereka agar layak ke Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada tahun ini.

Mengenai usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan atlet dari Selangor, beliau berkata, atlet yang tidak disambung kontrak sebagai atlet negara boleh meneruskan latihan di bawah persatuan sukan masing-masing.

“Mereka masih boleh dipertimbangkan untuk mewakili negara sekiranya mereka dapat perbaiki prestasi.

“Kerajaan negeri juga memberikan elaun kepada atlet yang layak menyertai SUKMA tahun ini tetap diteruskan dan platform disediakan khusus untuk mereka yang ingin menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Pengajian ini menerusi jalinan kerjasama yang telah dimeterai antara MSN Selangor dengan Universiti Industri Selangor (Unisel), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Management and Science University (MSU),” katanya. – MalaysiaGazette