BN membuktikan sebagai kerajaan yang cakna kepada rakyat sepanjang lebih 60 tahun memerintah.

BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan lebih dua per tiga majoriti setelah memperolehi 40 kerusi, 33 melalui UMNO.

Walaupun begitu, kemenangan besar BN ini tidak sepatutnya boleh membuatkan UMNO merasa lega dan senang hati kerana beberapa sebab.

Pertamanya, ini hanyalah PRN bukan Pilihan Raya Umum (PRU), dan PRN ini tidak dilihat sesuatu yang terlalu besar bagi ramai pengundi.

Sebab itulah hanya 54.92 peratus atau 1,426,573 pengundi sahaja daripada keseluruhan 2,597,742 orang pengundi berdaftar yang keluar mengundi.

Ramai rakan-rakan saya dari Johor yang tidak balik mengundi kerana menganggap ia bukanlah suatu yang terlalu mustahak kepada mereka.

Bandingkan jumlah keluar mengundi ini dengan jumlah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu 82.32 peratus (12,299,514 orang).

Ia amat jauh bezanya kerana dorongan untuk keluar mengundi dalam PRU jauh lebih besar berbanding keluar mengundi dalam PRN.

Jika jumlah keluar mengundi dalam PRN Johor ini meningkat sebanyak 15 ke 20 peratus sahaja pastilah keputusan undi akan berbeza.

Pengundi Cina khasnya adalah golongan takut mati (ultra kiasi), jadi mereka ramai yang tidak keluar mengundi dalam PRN Johor kerana Covid-19.

Maka MCA tidak boleh mendabik dada dengan berkata sokongan pengundi Cina kepada BN telah pulih bila ramai yang tidak keluar mengundi.

Kita juga tidak boleh berbangga dengan kemenangan hasil kelemahan dan perpecahan pihak lawan kerana ini bukan kemenangan sejati.

Kemenangan sejati yang boleh kekal adalah kemenangan hasil kekuatan kita sendiri, bukan hasil kelemahan dan perpecahan pihak lawan.

Dalam PRN Johor ini BN hanya meraih 599,753 undi atau 43.11 peratus undi popular, bermakna jika lawan mereka bergabung mereka boleh kalah.

Ada analisa bahawa jika undi PN digabungkan dengan undi PH/MUDA maka kerusi yang akan dimenangi oleh calon BN hanyalah 21, bukannya 40.

Dalam PRN Johor ini mungkin pihak lawan BN berpecah-belah antara satu sama lain tetapi siapa tahu jika mereka boleh bersatu dalam PRU 15.

Politik ini seni serba mungkin, apa yang nampak mustahil hari ini, seperti kerjasama PN dengan undi PH/MUDA, tidak mustahil boleh berlaku.

Sebab itulah BN tidak boleh senang hati dengan kemenangan besarnya dalam PRN Johor ini kerana ia boleh menjadi jerangkap samar dalam PRU 15.

Perlu diingat kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016 berakhir dengan kekalahan dalam PRU 14.

Kalau kita lihat keputusan PRN Johor ini mesejnya kepada PH amat jelas, iaitu ia ditolak terus oleh pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Tidak pernah berlaku sebelum ini 7 calon PKR dan 4 calon AMANAH hilang deposit di kawasan majoriti Melayu tetapi ia berlaku dalam PRN Johor.

Tidak mungkin pemimpin PH masih tidak sedar mengenai masalah besar yang sedang dihadapi olehnya dan memikirkan jalan penyelesaiannya.

Dalam PRN atau PRK juga kelebihan ada pada parti yang mengetuai kerajaan sementara kerana bantuan dana dan jentera dapat ditumpu sepenuhnya.

Dapat dilihat dalam PRN Johor ini Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet turun berkampung bagi memastikan kemenangan calon-calon BN.

Tetapi ini tidak akan berlaku dalam PRU kerana masing-masing, baik Perdana Menteri atau Menteri-Menteri Kabinet, perlu jaga kawasan sendiri.

Begitu juga faktor ‘poster boy’ yang memainkan peranan besar sebagai penentu kemenangan di mana dalam PRN Johor ini ‘poster boy’ BN berkesan.

Itulah satu kelebihan besar BN dalam PRN Johor ini, iaitu ‘poster boy’ BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Ir Hasni Mohamad.

Datuk Seri Ismail Sabri pemimpin yang tidak bermasalah sebagai Perdana Menteri, ada imej ‘nice guy’ dan tidak terpalit apa-apa kontroversi.

Datuk Ir Hasni pula dilihat seorang Menteri Besar yang baik dan berkesan serta disukai ramai, dan diumum calon Menteri Besar tunggal BN.

Malangnya, apa yang berlaku selepas itu berbeza dari realiti di bawah bila kredit kemenangan BN banyak diberi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lebih memalukan lagi bila tokoh ‘poster boy’ yang bertungkus-lumus membantu kemenangan BN disorak pula supaya membubarkan Parlimen.

Orang Melayu Islam adalah golongan yang beradab dan berbudi bahasa tinggi, tidak sepatutnya menekan secara terbuka pemimpin mereka.

Kuasa membubarkan Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan kuasa menasihatkan Seri Paduka berbuat begitu adalah milik Perdana Menteri.

Adalah tidak molek untuk menjerit-jerit meminta Parlimen dibubarkan seolah-olah ahli dan penyokong UMNO ini sudah hilang adab dan budi bahasa.

Seri Paduka sendiri sudah berkali-kali memuji persefahaman politik antara kerajaan dan pihak pembangkang yang berjaya menstabilkan negara.

Sebagai rakyat yang setia kepada Rajanya, perlulah dihormati pengharapan Seri Paduka supaya persefahaman politik ini akan berterusan.

Amat pelik sekarang bila nampak pihak seperti DAP yang sebelum ini komitmennya kepada institusi beraja dipersoalkan pula menyahut seruan ini.

Sebarang cadangan untuk meminta Parlimen dibubarkan tidak boleh dibuat mengikut emosi dan sentimen tetapi perlu dibuat berlandaskan fakta.

Di samping pelbagai kemungkinan yang ada, termasuk cubaan pihak pembangkang bersatu kembali, parti-parti rakan dalam kerajaan juga perlu dirunding.

Jangan nanti disebabkan sikap terburu-buru akan membawa kepada penyesalan di kemudian hari kerana jika kalah kali kedua nescaya sukar untuk bangkit kembali.

Jangan kerana tersangat seronok menang negeri, Kerajaan Pusat tergadai dalam PRU 15 nanti.

Oleh: Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah adalah Profesor di Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast