Ibrisam (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Zulkifli (kanan) dan Roslan di Pejabat Pengarah Penjara Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Penjara masih berdepan situasi kesesakan banduan dalam tahanan susulan jumlah pesalah yang ditempatkan di semua penjara seluruh negara ketika ini melebihi kapasiti ditetapkan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman mendedahkan seramai 70,000 banduan ketika ini ditempatkan di 40 penjara dan 10 penjara satelit seluruh negara.

Jelas beliau, kapasiti sebenar bagi 50 penjara termasuk penjara statelit itu hanya 62,000 banduan dan ini sekali gus menujukkan terdapat lebihan 8,000 penghuni ketika ini.

Bagaimanapun, Ibrisam menegaskan keadaan di semua penjara ketika ini terkawal walaupun sesak dengan lebihan banduan.

“Setakat ini, Penjara Kajang dan Sungai Buloh merekodkan jumlah banduan tertinggi iaitu masing-masing menempatkan 6,000 banduan ketika ini.

“Kapasiti sebenar Penjara Kajang hanya 3,500 manakala Penjara Sungai Buloh 3,000 namun keadaan ketika ini jumlah banduan dua kali ganda di penjara tersebut.

“Bagi Penjara Reman Pulau Pinang terdapat lebihan 800 banduan berbanding kapasiti 1,100 manakala Penjara Seberang Perai pula, kapasiti hanya 1,500 tetapi jumlah banduan ketika ini 1,900,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pulau Pinang di sini hari ini.

Ibrisam Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Zulkifli Abdul Manah dilantik sebagai Pengarah Penjara Pulau Pinang baharu menggantikan Roslan Mohamed yang ditukarkan ke Melaka sebagai pengarah penjara negeri tersebut.

Tambah Ibrisam, pihaknya melaksanakan program pemulihan di luar tembok penjara bersama komuniti seperti sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib dan Program Reintegrasi Penghuni (PRP) sebagai langkah menangani isu kesesakan banduan.

Kata beliau, selain mengurangkan kesesakan dalam penjara program pemulihan komuniti itu juga ibarat sinar dan terbukti dengan program melibatkan kerjasama pihak swasta menerusi Corporate Smart Internship (CSI) bagi Orang Di Parol (ODP) kini memberi impak besar terhadap pemulihan ODP.

“Menerusi sistem ini membolehkan banduan menghabiskan baki hukuman di luar penjara, jadi memudahkan mereka mendekatkan diri dengan ke­luar­ga serta masyarakat.

“Bukan sekadar itu, ia juga membantu menjimatkan kos kerajaan apabila banduan yang menjalani parol tidak lagi tinggal di dalam penjara malah pelaksanaan sistem ini juga begitu berkesan apabila kadar jenayah berulang ODP adalah di bawah 0.44 peratus berbanding banduan penjara sebanyak 13 peratus,” kata beliau.

Dalam pada itu, tambah Ibrisam, pihaknya juga menyasarkan 23,000 banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast