Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, dihukum penjara dan denda di Mahkamah Seksyen 2 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Peramu dijatuhi hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 setelah didapati bersalah atas 10 pertuduhan di Mahkamah Seksyen 2 Kuantan hari ini.

Tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, diarahkan menjalani hukuman  bermula tarikh sabitan setelah diputuskan oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain sejurus pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Siti Sarah  Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Prosiding selama dua jam menetapkan kesemua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak menjadikan tempoh 18 bulan penjara serta boleh dihukum penjara lima tahun  jika gagal membayar denda.

Penjawat awam itu didapati melakukan kesalahan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya. antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

Sheikh Hassan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan peguambelanya, G. Ravishankar yang mewakili tertuduh  untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Justeru mahkamah memutuskan rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.