KUALA LUMPUR – Pengguna di negara ini masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak-hak mereka sebagai pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana Kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia yang dilakukan pada 2020 mendapati pengetahuan pengguna Malaysia tentang hak-hak mereka sebagai pengguna dan jati diri untuk mempertahankan hak masing-masing adalah sederhana, iaitu 63.1 peratus.

“Oleh yang demikian, Kementerian akan terus merangka program advokasi di setiap peringkat masyarakat bagi menangani
isu-isu kepenggunaan semasa,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semas berucap pada majlis Pelancaran Advokasi Kepenggunaan Melalui Medium Pengangkutan Awam dan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022.

Menurut beliau, kementeriannya akan terus memainkan peranan yang lebih aktif dalam member pendidikan dan kesedaran kepada pengguna dengan kerjasama pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan masyarakat.

Tambah Alexander, antara langkah yang diambil oleh kementeriannya adalah mempelbagaikan medium advokasi
kepenggunaan kepada masyarakat supaya ilmu kepenggunaan dapat disebarkan dengan lebih meluas.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalin kerjasama dengan MedikTV, Phar Partnership, Shopee bagi memberi advokasi kepenggunaan kepada masyarakat melalui platform media sosial, e-dagang, laman web terpilih serta hospital dan klinik kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Alexander berkata, kementeriannya juga sentiasa mengenalpasti kaedah-kaedah lain
untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna, antaranya ialah kerjasama dengan influencer dan platform e-dagang seperti Lazada bagi meluaskan lagi capaian terhadap pengguna.

Jelas beliau, ia merupakan salah satu keutamaan untuk membangunkan strategi yang efektif untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran kepada pengguna selain mengetengahkan isu pengguna.

Menurut Alexander, selain menjalinkan kerjasama dengan pihak luar, pihaknya juga mengadakan pelbagai inisiatif untuk mendayaupayakan pengguna, antaranya menydiakan aplikasi Price Catcher iaitu aplikasi untuk membuat perbandingan harga sesuatu barangan.

Selain itu, katanya, KPDNHEP turut menyediakan aplikasi MySales Tracker bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada
pengguna untuk membuat semakan aktiviti jualan murah, sembilan saluran aduan dan Tribunal Tuntutan Pengguna
Malaysia (TPM) yang merupakan platform alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna menfailkan tuntutan tebus rugi
bagi pembelian barang dan perkhidmatan.

Tambah beliau, pihaknya optimis dengan adanya pendidikan dan kempen kesedaran secara berterusan melalui pelbagai platform akan dapat meningkatkan tahap daya upaya pengguna di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast