Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor telah melulus dan membuat pembayaran sebanyak RM118.110 juta kepada 118,110 keluarga yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda negeri ini pada akhir tahun lalu.

Pembayaran yang dibuat menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) itu turut melibatkan sejumlah RM140,000 sebagai bayaran saguhati kepada 14 keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN), keseluruhan jumlah peruntukan yang dibayar kepada keluarga mangsa banjir itu adalah sehingga 14 Mac lalu.

Menurut beliau, jumlah 118,110 keluarga itu adalah 10 kali ganda daripada senarai yang diperolehi daripada keluarga atau ketua isi rumah yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika banjir.

“Yang kita anggarkan kira-kira 11,500 atau 11,700 keluarga sahaja yang terkesan, tetapi jumlah itu meningkat tiga kali ganda.

“Namun, kita telah buat pembayaran kepada 118,000 keluarga,” katanya dalam sesi menjawab soalan lisan di persidangan DUN Selangor, hari ini.

Mengenai jumlah keluarga yang belum menerima BSB, Amirudin berkata, setakat ini di daerah Petaling seramai 348 orang, Klang (7,236), Kuala Langat (530), Kuala Selangor (56), Sepang (223) dan Gombak (dua orang).

Bagaimanapun, mangsa banjir di tiga daerah yang telah menerima bayaran BSB sepenuhnya ialah Hulu Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Kata beliau, sebanyak 2,942 permohonan telah ditolak atas faktor yang tidak memenuhi kriteria dan sebahagiannya juga telah melaksanakan ataupun didapati bertindih antara satu sama lain.

“Kita peroleh juga bilangan permohonan dalam semakan, maknanya yang belum selesai iaitu 300 permohonan yang belum ditentusahkan kedudukannya sama ada layak ataupun ditolak.

“Kita jangkakan akhir Mac ini boleh melangsaikan semua yang tertunggak ini dan kalau ada tertunggak lagi pun, selepas 31 Mac adalah rayuan yang kita akan proses sampai sehingga 30 April,” katanya.

Mengenai soalan dibangkitkan, adakah kewangan mencukupi untuk BSB, Amirudin menjelaskan, setakat ini kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan di peringkat daerah secara keseluruhan sebanyak RM132.628 juta, dan RM118,025 telah disalurkan.

“Ini bermakna peruntukan di Pejabat Daerah seperti Petaling, Klang, Hulu Langat, Kuala Selangor, Sepang dan Gombak keseluruhannya sebanyak RM14.378 juta.

“Katakanlah ada sedikit satu dua yang terlepas lagi, kita masih mempunyai RM14 juta dalam saku Pejabat Daerah dan sebagainya untuk kita salurkan kepada BSB,” katanya. – MalaysiaGazette