MELAKA – Seorang penjual sayur maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta sebelum terpelanting di Jalan Telok Mas-Alai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi berhadapan Sekolah Rendah Telok Mas itu, mangsa, Muhammad Farihin Mohd Lazan, 30, yang juga bapa kepada dua anak berusia empat tahun dan sembilan bulan maut ditempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu penjual sayur dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pasar Borong Melaka di Batu Berendam.

“Sebaik tiba ditempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Bandar Melaka ke Telok Mas hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Proton Wira terbabit kemudian melanggar tembok longkang sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Ego LC ditunggang mangsa yang datang dari arah Bukit Tembakau menyebabkannya terpelanting.

“Rempuhan itu turut menyebabkan kereta terbabit terbabas dengan keempat-empat tayar ke atas memasuki kawasan pagar Balai Raya Telok Mas,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambahnya, sampel darah pemandu yang mengalami luka di kaki dan mata juga telah diambil di Hospital Melaka yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk ujian Covid-19 sebelum ianya disahkan positif dan proses bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kluang, Johor.

Katanya, kes disiasat pegawai penyiasat Inspektor R Nitheish Kumarr mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette