KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail mengakui terdapat kemungkinan tanggapan salah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut mengakui Najib telah mengadakan pertemuan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta, di sini, kerana penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang akan dijamin kerajaan.

Ismee juga bersetuju dengan pembelaan bahawa Najib bukan individu yang boleh membuat keputusan mahupun memegang sebarang saham dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Saksi ke-13 perbicaraan 1MDB itu turut mengakui tanggapan beliau salah selepas peguam bela, Datuk Hariharan Tara Singh yang menyoal balas menunjukkan sepucuk surat daripada Setiausaha Sulit Istana Terengganu kepada TIA yang menyatakan ingin menangguhkan penerbitan nota tersebut.

Malah pada awal prosiding, Ismee membaca keterangannya sebelum ini yang beranggapan Najib mahu meneruskan penerbitan IMTN seperti yang dirancang.

“Jika berdasarkan surat ini, mungkin tanggapan saya terhadap Datuk Seri Najib sebenarnya salah,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Ismee Ismail
Tan Sri Ismee Ismail

Bekas Perdana Menteri itu berhadapan dengan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion milik 1MDB.

Sebelum ini, walaupun Shahrol Azral berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah untuk menangguhkan pelaksanaan penerbitan IMTN itu namun beliau mendakwa Najib mahu meneruskan rancangan tersebut.

Ismee juga bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa Shahrol Azral telah melanggar arahan untuk menangguhkan penerbitan nota tersebut apabila beliau meneruskan pelaksanaannya.

TIA adalah syarikat pelaburan strategik bertujuan untuk membangunkan ekonomi Terengganu dan ia dimiliki Menteri Besar DiPerbadankan yang mana namanya ditukar kepada 1MDB milik Menteri Kewangan Diperbadankan pada 2009.

Pada awalnya TIA merancang membangunkan Pulau Bidong yang pernah menjadi tempat perlindungan pelarian Vietnam pada 70 an hingga 90 an sebagai destinasi pelancongan baharu Terengganu.

Ketika Hariharan bertanyakan soalan-soalan berkaitan TIA dan penerbitan nota itu, pihak pendakwaan bangkit untuk membantah dengan alasan ia sudah dijawab oleh Shahrol Azral sebelum ini.

Hariharan berkata, beliau merancang untuk mengulangi pertanyaan itu kepada saksi seterusnya, Tan Sri Bakke Salleh yang juga bekas Pengarah TIA.

Prosiding seharian itu akan bersambung pada Isnin pagi.

Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi. -MalaysiaGazette