Khairy Jamaluddin menerima memorandum yang disampaikan oleh wakil-wakil sekumpulan NGO di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen digesa menyokong Akta Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok baharu dan cadangan Generasi Penamat (Generational End Game) yang akan dibentangkan kelak supaya diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sokongan itu perlu dilakukan demi rakyat memandangkan masalah merokok sudah tidak dapat dibendung secara berkesan lagi di bawah Akta Makanan dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang sedia ada.

Pertubuhan Green Lung Malaysia dan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia serta 91 Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) dan badan perubatan dan profesional berkata, mereka menyokong sepenuhnya cadangan yang diumumkan Menteri Kesihatan,Khairy Jamaluddin pada 15 Januari 2022 bagi melarang aktiviti merokok dan membeli rokok termasuk rokok elektronik kepada mereka yang lahir 1 Januari 2005 dan seterusnya.

Menurut mereka, tinjauan morbiditi kebangsaan yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, prevalens merokok di Malaysia menunjukkan penurunan yang sangat sedikit, sekali gus menunjukkan ketaranya ketidakberkesanan polisi yang sedia ada dalam mengawal penggunaan rokok.

Trend ini menunjukkan prevalens merokok tidak akan menurun sekiranya tiada perubahan polisi dan akan terus berlarutan dan membebankan sistem kesihatan negara dan mengancam kesihatan rakyat termasuk perokok dan bukan perokok.

”Melaksanakan Larangan kepada Generasi Penamat bermakna kita menurunkan peratusan perokok baru (rokok konvensional dan rokok elektronik) secara drastik.

”Strategi ini juga akan membawa penurunan kepada peratusan merokok secara keseluruhan. Jadi beban kos bagi merawat masalah kesihatan akibat merokok akan dapat dikurangkan,” katanya kumpulan NGO ini yang menyerahkan memorandum ini kepada Khairy Jamaluddin.

NGO berkenaan menambah, merokok merupakan masalah kesihatan utama di Malaysia yang telah menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit terutama penyakit jantung koronari, kanser dan paru-paru kronik dan masalah ini bertambah teruk sejak kemunculan rokok elektronik atau vape.

Pengguna rokok elektronik dan vape dewasa telah meningkat daripada 3.2% pada tahun 2016 kepada 4.9% pada tahun 2019.

Jika dikira berdasarkan jumlah penduduk, pengguna rokok elektronik atau vape telah berganda daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta orang dalam tempoh tiga tahun sahaja.

Kajian Adolescent Health Survey yang dijalankan pada 2017, trend merokok rokok konvensional dalam kalangan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun menunjukkan penurunan iaitu seramai 295,00 orang (13.8%) (lelaki 22.4%, perempuan 5.3%).

Jumlah peratusan perokok di kalangan remaja perempuan menunjukkan peningkatan.

”Walaupun penggunaan rokok konvensional menurun, tetapi pada masa yang sama penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja menjadi semakin popular. Kajian yang sama melaporkan seramai 211, 000 orang atau 9.8% (lelaki 17.0%, perempuan 2.8%) remaja menggunakan vape.

”Keadaan ini menunjukkan bahawa ketagihan terhadap nikotin telah beralih daripada rokok konvensional kepada vape yang kelihatan lebih moden dan menarik terutama dalam kalangan remaja berumur 18 tahun ke bawah.

”Menurut kajian Tobacco and E-Cigarette Survey among Malaysia Adolescents (TECMA) yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum pada tahun 2016, terdapat seramai 330, 000 orang atau 15.2% remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun (lelaki 27.8%, perempuan 2.6%) ialah pengguna vape,” ujarnya.

Kajian unjuran yang telah dijalankan menunjukkan kerajaan akan menanggung beban kos rawatan untuk merawat hanya tiga daripada pelbagai penyakit akibat merokok sebanyak RM 8.2 billion pada tahun 2030.

Katanya, mengikut tinjauan umum atas talian yang dijalankan oleh pihak Pertubuhan Green Lung Malaysia, sebanyak 97.2% daripada 928 responden menyuarakan sokongan mereka terhadap Generational End Game, antaranya 51.4% adalah golongan pemuda berumur 24 tahun dan ke bawah.

Secara signifikannya menunjukkan cadangan ini mendapat sambutan positif dalam kalangan rakyat Malaysia, ujar kumpulan NGO ini. – MalaysiaGazette