Penerima yang telah mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu masih belum ada sebarang cadangan supaya rakyat mendapatkan dos penggalak keempat vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Anak Dagang berkata, pihaknya masih belum mendapat keputusan daripada kajian yang dilakukan oleh kumpulan teknikal.

“Kementerian belum ada cadangan untuk mengadakan dos keempat untuk orang awam.

“Apa yang dikatakan itu mungkin kita akan siasat lagi adakah itu benar ataupun hasil belum dibuat laporan kepada kita,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuching Dr. Kelvin Yii Lee Wuen.

Aaron Ago Dagang

Pada akhir tahun lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan  kumpulan teknikal Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat, susulan ancaman penularan jangkitan Omicron.

Sementara itu Aaron Ago berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kematian yang dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19

Menurut beliau sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima sebanyak 607 laporan melibatkan kematian yang disyaki dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

Daripada jumlah itu 451 laporan telah selesai penyiasatan dan penilaian oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin COVID-19 (JFK).

“Sebab kematian ditentukan berdasarkan penilaian klinikal dan juga laporan bedah siasat. Ianya merupakan maklumat sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum melainkan dengan kebenaran waris.

“Setiap kes kematian akan disiasat dan dilaporkan dengan teliti dan menyeluruh oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan di peringkat fasiliti.

“Seterusnya penilaian hubungkait antara kesan dan vaksin yang diambil akan dijalankan oleh JFK dengan mengambil kira hasil laporan perubatan pesakit, laporan ujian yang berkaitan dan laporan bedah siasat sekiranya ada,” katanya.

Tambah beliau, ahli-ahli JFK terdiri daripada pakar-pakar daripada pelbagai bidang termasuk kardiologi, imunologi, hematologi, neurologi, perubatan dalaman, patologi, penyakit berjangkit, geriatrik dan forensik dari fasiliti KKM, universiti dan swasta.

Literature review juga akan dijalankan bagi melihat laporan yang berkaitan di peringkat global.

Hasil penilaian pihak JFK akan dimaklumkan kepada fasiliti kesihatan.- MalaysiaGazette