Dua lelaki berusia 50 dan 52 tahun ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Dua lelaki  yang memandu dalam keadaan mabuk ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua lelaki yang berusia 50 dan 52 tahun  itu diperiksa di dua lokasi berasingan, ditahan selepas gagal ujian saringan awal pernafasan.

“Mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian pernafasan kedua menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan,” katanya.

Menurutnya, ujian pernafasan mereka didapati positif dengan bacaan (218mg/100mg) bagi suspek pertama  dan 307mg/100ml bagi suspek kedua.

Manakala hasil ujian EBA-II dan mendapati bacaan sebanyak (136mg/100 ml) bagi suspek pertama dan tiada rekod bacaan dikesan bagi suspek kedua.

“Suspek kedua gagal memberikan sampel ujian nafas alat EBA dan seterusnya pengadu bawa suspek ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)  untuk mengambil sampel ujian darah dan air kencing,” katanya ketika dihubungi.

Siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-kedua suspek di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Seksyen 45A (1) APJ 1987 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Katanya, operasi selama enam jam dijalankan di Jalan Haji Ahmad dan Jalan Air Putih, Kuantan diketua Inspektor Faizal Basri bersama enam anggota trafik tamat jam 4 pagi tadi. – MalaysiaGazette