Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) stabil meskipun tidak bekerjasama dengan parti-parti luar daripada Barisan Nasional (BN) termasuk Pas.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin berkata, BN di negeri itu masih mampu mengekalkan majoriti mudah yang diperoleh pada pilihan raya lalu dan kerjasama dengan Pas hanya melalui Muafakat Nasional (MN) satu masa dahulu.

“Pahang tidak pernah campur dengan Pas kita ada majoriti mudah yang sah. Kerjasama dengan Pas dulu dalam Muafakat Nasional (MN) mereka cenderung kepada kita (UMNO-BN).

“Tapi kalau sekiranya Pas tidak lagi bersama kita masih ada majoriti yang sah maksudnya kita tidak perlu berkongsi kuasa dengan siapa-siapa,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang dan Ketua UMNO Bahagian Temerloh itu.

Bagaimanapun, katanya, UMNO tidak pernah menyatakan hasrat tidak mahu bekerjasama dengan Pas dan tidak bermakna MN di negeri itu sudah bubar.

Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika sidang media mengenai Pahang Hiking Day 2022. – MalaysiaGazette