Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR –  Dalam kejadian yang jarang berlaku, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Senator Idris Ahmad menjawab soalan berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.

Idris menjawab soalan yang dilontarkan Ahli Parlimen Padang Serai-PKR, M. Karupaiya berikutan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan.

Dewan Rakyat menjadi kecoh sebentar apabila beberapa ahli Parlimen bangun mempersoalkan ketiadaan Menteri atau Timbalan Menteri Kewangan bagi menjawab soalan terbabit.

Karupaiya ingin mengetahui berapa jumlah yang dijelaskan oleh kerajaan untuk membayar balik hutang berkaitan 1MDB dan SRC International.

Beliau juga mahu mengetahui sumber yang digunakan serta berapa jumlah nilai daripada setiap sumber tersebut dan atas nama siapa pembayaran berkenaan dibuat.

Karupaiya juga ingin mengetahui berapa baki hutang yang masih belum dibayar.

Dalam jawapannya, Idris berkata, kerajaan masih perlu menampung RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2022 hingga 2039.

Ini berdasarkan berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima daripada Ambank sebanyak RM515 juta dan baki jaminan pemulihan aset daripada Goldman Sachs sebanyak kira-kira AS$954 juta.

“Mulai tahun 2014 hingga 28 Februari 2022 jumlah yang telah dibayar SRC adalah sebanyak RM314.72 juta. Manakalah jumlah yang telah dibayar oleh kerajaan adalah sebanyak RM4744.49 juta menjadikan keseluruhan pembayaran semula pinjaman daripada KWAP adalah sebanyak RM5059.21 juta.

“Jumlah ini adalah termasuk bayaran prinsipal keuntungan takwip iaitu ganti rugi kepada pemimjam akibat daripada kelewatan. Pembayaran terakhir bagi pembiayaan daripada KWAP telah dijadualkan pada 28 Mac 2022 yang berjumlah RM610.22 juta,” kata Idris.

Menurutnya, kesemua pembayaran adalah daripada sumber kewangan kerajaan.

Tambah beliau, setakat 28 Februari lalu jumlah dana pemulihan aset 1MDB telah berjaya diperoleh semula adalah sebanyak RM19.14 bilion daripada beberapa matawang asing termasuk dolar Amerika, dolar Singapura dan dolar Australia.

“Dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran 1MDB, yang mana setakat 28 Februari 2022 sebanyak RM3.31 bilon telah digunakan bagi tujuan pelunasan faedah bon atau sukuk 1MDB

“Ini menjadikan jumlah pembayaran yang telah dibuat kerajaan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan adalah sebanyak RM13.31 bilion. Pada masa ini dana akaun amanah masih berbaki sebanyak RM15.76 bilion termasuk hibah dan untung rugi tukaran asing,” katanya.

Tambah beliau Dana Pemulihan Aset 1MDB mencukupi untuk menampung sebahagian besar prinsipal dan faedah 1MDB pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM16.18 bilion

Bagi menampung kekurangan dana tersebut kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM1.53 bilion tujuan pelunasan faedah hutang 1MDB bagi tahun ini.- MalaysiaGazette