E Sundra Rajan

MELAKA – Seorang pemandu di sebuah institusi pendidikan kerugian RM73,000 hasil wang pinjamannya yang baharu diluluskan enam hari lalu selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Lebih malang, mangsa lelaki berusia 40 tahun, baharu sahaja mendapat pinjaman wang terbabit berjumlah RM80,000 Jumaat lalu yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan mengubahsuai rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku Isnin lalu apabila mangsa yang bekerja sebagai pemandu sebuah Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di sini menerima panggilan daripada individu tidak dikenali.

“Suspek lelaki kemudian menjelaskan kononnya isterinya tersilap mendaftar butiran maklumat untuk urusan perbankan dalam talian dengan menggunakan nombor mangsa.

“Suspek meminta mangsa memberikannya nombor TAC kepada yang diterimanya dan mangsa yang tidak membuat pengesahahan terus menyerahkan nombor TAC kepada lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak bank menyatakan terdapat pindahan wang berjumlah RM50,000 daripada akaun banknya.

“Keesokan harinya, mangsa membuat semakan di dalam akaun banknya sebelum mendapati terdapat pindahan wang kali kedua berjumlah RM23,000 ke dalam akaun yang tidak dikenali.

“Semua wang di dalam akuan mangsa adalah hasil pinjaman berjumlah RM80,0000 yang baharu sahaja diluluskan pada 11 Mac lalu untuk kegunaanya mengubahsuai rumah, namun kini baki yang tinggal hanya RM456,” katanya.

Menurutnya, selepas kerugian RM73,0000 mangsa telah ke bank terbabit untuk membuat pengesahan sebelum dinasihatkan membuat laporan polis kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket penipuan TAC.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak nombor telefon dan akaun bank melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang urusan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan sebegini,” katanya.