Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan pelbagai dadah bernilai RM1.62 juta yang dirampas baru-baru ini.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya membongkar sebuah rumah dijadikan stor simpanan dan pembungkusan dadah yang diseludup masuk ke negara melalui sempadan Thailand kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya merampas dadah seberat 468.8 kilogram (kg) disyaki jenis ganja pelbagai gred daripada gred 2,3 dan 4.

Selain itu 10 kilogram (kg) dadah disyaki syabu turut dirampas dalam dua serbuan berkenaan yang dijalankan di sekitar Lembah Klang.

Antara dadah jenis ganja berjaya dirampas yang ditunjukkan pihak polis dalam satu sidang media mengenai pembongkaran stor simpanan dan pembungkusan dadah jenis ganja dan syabu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, hari ini.

“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 987,34 orang penagih dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Pelbagai aset kegunaan sindiket tersebut yang dianggar bernilai RM88,496 turut disita menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM1.62 juta.

Tambahnya, dua suspek lelaki berumur lingkungan 31 dan 47 tahun yang merupakan rakyat tempatan ditahan hasil serbuan di Kuala Langat.

Menurut Ayob, sindiket itu menyeludup masuk dadah menggunakan modus operandi  mengimport beras untuk diedarkan dalam negara.

“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak bulan Mac tahun 2022,” tambahnya.

Hasil saringan awal pihak polis mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC, manakala seorang daripada suspek berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai 16 Mac untuk membantu siasatan.-MalaysiaGazette