Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan beliau ada sedikit kecemasan peribadi yang perlu diuruskan pagi menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke Parlimen.

Katanya, ketidakhadiran beliau telah pun dimaklumkan.

”Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan.

”Mengikut SOP soalan MQT, hanya menteri sahaja yg boleh memberikan jawapan, dan ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain. Banyak precedent on this.

”Terima kasih YB Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya. Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada YB Padang Serai serta YB Tumpat dan YB Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang telah berlaku,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tengku Zafrul menjawab teka teki ketiadaannya di Parlimen hari ini menyebabkan soalan kepada kementerian itu terpaksa dijawab oleh Menteri Agama, Senator Idris Ahmad.

Jawapan beliau itu juga sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi tentang ketidakhadirannya termasuk didakwa melepaskan jawatan selepas kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Parlimen, Tengku Zafrul berkata, tahun lalu Timbalan Menteri Kewangan juga yang membentangkannya.

Lagipun, pembentangan tersebut memang berdasarkan perancangan oleh kementerian itu.

Lantaran itu, beliau memohon media supaya adil dalam membuat laporan.

” Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media – gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Menteri Kewangan tidak hadir, Menteri Agama jawab soalan 1MDB di Parlimen