Asraf Ariff Abd. Malik

KUALA LUMPUR – Agenda transformasi yang digariskan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia adalah teras harapan golongan muda kepada kerajaan.

Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Asraf Ariff Abd. Malik berkata, ia memberi gambaran bahawa ahli Pemuda cakna dengan isu semasa dan tidak hanya semberono di dalam politik.

Katanya, selain persoalan mandat yang perlu dikembalikan kepada rakyat, isu akta Anti Lompat Parti juga perlu diberi pertimbangan kerajaan.

“Kita melihat kacau bilau politik negara berlaku selepas beberapa wakil rakyat melompat ke parti lain, mengurangkan jumlah asal yang dimenangi UMNO.

“Keadaan ini perlu dibendung. Biarlah yang menang dengan jumlah tertentu kekal sehingga akhir. Di situ akan wujud kestabilan di dalam negara,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Asraf Ariff, ucapan dasar Ketua Pemuda menyentuh isi hati orang muda dan harapan kepada pucuk pimpinan.

Katanya, ia akan dijadikan pemangkin semangat untuk ahli akar umbi ‘buat kerja’ di bahagian masing-masing bagi menjamin kemenangan UMNO. – MalaysiaGazette