Dato' Zahida Zarik Khan berucap ketika hadir pada Persidangan Pewakilan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mencadangkan supaya bekas Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Hasni Mohammad diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, ketika Hasni menjadi MB Johor, beliau merupakan  individu yang sanggup mengambil risiko tanpa mengira kepentingan peribadi mengisytiharkan perang di negeri itu.

“Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang berani membuat keputusan dan mengambil risiko tanpa mengira kepentingan diri dan keberanian, inilah yang menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dihormati oleh kawan dan lawan.

“Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan kita kecewa kerana beliau (Hasni) tidak dapat meneruskan kepimpinannya dalam kerajaan negeri Johor namun kita patut berikan penghargaan kepadanya di atas kejayaannya mengemudikan UMNO Johor.

“Bahkan kesediaan melepaskan kedudukan untuk memberi peluang kepada pemimpin yang lebih muda adalah satu pengorbanan yang sangat luar biasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Zahida sekali lagi turut menggesa supaya PRU-15 diadakan segera dan mengambil semangat kecemerlangan Hasni di Johor untuk di bawa ke seluruh negara.

“Walaupun beliau tidak ada di sini, mari kita zahirkan penghargaan besar kita kepadanya. Bahkan sekiranya saya dapat mencadangkan, parti harus memberi peluang kepada Hasni.

“Bertandinglah lagi untuk kawasan Parlimen dalam PRU-15, pastikan BN menang di seluruh negara dan tempatkannya di tempat yang lebih tinggi lagi selepas ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahida berkata, parti juga perlu mengambil pengajaran dari PRN Johor yang berlangsung baru-baru ini mengenai isu poster boy.

“Sedikit pengajaran, selepas ini kita lupakan isu poster boy yang penting parti kita menang,” katanya. – MalaysiaGazette