KUALA LUMPUR – Ahli-ahli wajib mempunyai keyakinan bahawa UMNO adalah parti politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat telah melalui pengalaman dua kerajaan terdahulu di mana mereka menyaksikan sendiri kerenah semua parti yang pernah menjadi kerajaan dalam tempoh hampir empat tahun ini.
“Banyak yang indah khabar daripada rupa…yang menjanjikan harga minyak turun ada, yang menjanjikan penghapusan tol ada, yang menjanjikan satu juta pekerjaan ada, yang menjanjikan penghapusan hutang PTPTN pun ada, yang mengatakan manifesto bukan kitab suci ada
“Namun semuanya khayalan semata. Jadinya, rakyat perlu yakin bahawa pilihan terbaik buat mereka kini adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Pehimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, cakap-cakap soal pembaharuan atau reform hanya bersifat tempelan dan laungan slogan semata-mata.
Katanya, tiada agenda pembaharuan besar yang dilaksanakan oleh mereka seperti yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya UMNO (PRU14) lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, pembaharuan yang mereka lakukan adalah menamatkan perkhidmatan kakitangan kontrak kerajaan, menutup peranan agensi kerajaan dan menghapuskan skim-skim bantuan buat rakyat.
“Keadaan ini sudah tentu memberikan isyarat yang salah kepada rakyat. Rakyat mengharapkan perubahan dan pembaharuan, namun cakap-cakap siapa pun naik menjadi kerajaan sama saja mula kuat kedengaran.
“Penambahbaikan kepada sistem pentadbiran Barisan Nasional yang kononnya dituduh tidak elok, tidak juga berlaku kerana sistem pentadbiran negara sudah teratur dengan baik. Direct nego yang dituduh menjadi amalan untuk UMNO-putera, berlaku lagi hebat di zaman mereka,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, institusi penguat kuasa undang-undang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah kuasa orang politik sebagai Ketua Pesuruhjayanya.
Kes-kes yang melibatkan mereka semuanya dirunding semula oleh Peguam Negara dan semua itu menjadi bukti bahawa parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan selepas PRU-14 dahulu, bukanlah merupakan ejen pembaharuan yang tulen.
Sebaliknya kata beliau, laungan pembaharuan mereka hanya untuk memikat ke puncak kuasa dan langkah yang dilakukan mereka bersifat membalas dendam. – MalaysiaGazette