Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias beramah mesra bersama perwakilan dan juga ahli UMNO bahagian Jelebu ketika hadir ke Majlis Makan Malam UMNO Bahagian Jelebu bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 ketika di 99 Wonderland Park, Selayang. Foto MOHD ADZLAN, 17 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yakin mampu untuk merampas semula Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, rakyat di negeri itu sudah merasai corak pentadbiran kerajaan PH yang didakwa tidak mesra rakyat.

Justeru menurutnya, rakyat Negeri Sembilan mahu melihat semula BN kembali menjadi kerajaan di negeri tersebut.

“Apabila DUN Negeri Sembilan dibubarkan saya yakin BN menguasai kerajaan Negeri Sembilan kerana apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan PH terutama ketua-ketua dan wakil mereka di daerah-daerah sudah dirasai dan dilihat oleh majoriti rakyat.

“Bagi kawasan Parlimen Jelebu sahaja, rakyat keseluruhan daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India, Cina dan Orang Asli sudah melihat perbezaan pengurusan dan pentabiran oleh Kerajaan BN dan kerajaan PH,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bergambar bersama perwakilan dan juga ahli UMNO bahagian Jelebu selepas hadir ke Majlis Makan Malam UMNO Bahagian Jelebu bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 ketika di 99 Wonderland Park, Selayang. Foto MOHD ADZLAN, 17 MAC 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditanya semangat yang diperolehi Barisan Nasional selepas kemenangan parti itu di Melaka dan Johor dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Mengenai kerjasama BN dengan Pas dalam misi merampas semua Negeri Sembilan daripada PH, Jalauddin berkata, keputusan itu hanya boleh dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi  (MKT) UMNO.

“Kesemua ini bukan merupakan satu keputusan individu walaupun saya adalah Ahli MKT tetapi tidak adil untuk saya memberikan pandangan dalam bentuk kerjasama ataupun keputusan yang besar.

“Ini harus dibincang dan diputuskan oleh MKT. Saya yakin Datuk Seri Presiden akan membawa perkara penting untuk diputuskan bersama di dalam mesyuarat MKT.

“Biarkan keadaan dan suasana ini berlangsung seperti biasa dan MKT memikul tanggungjawab ini untuk kebaikan parti dan negara,” katanya.

Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam UMNO Jelebu sempena Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2021 di sini malam tadi.

Majlis makan malam tersebut merupakan acara tradisi UMNO Jelebu setiap kali perhimpunan agung UMNO berlangsung namun terhenti selama dua kali berikutan Covid-19.

Parlimen Jelebu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chennah, Pertang, Sungai Lui dan Klawang. Dua daripadanya iaitu Chennah dan Klawang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Serentak itu Jalaluddin mahu UMNO dan BN merampas semula kedua-dua DUN tersebut dan mereka perlu menerima sepenuh hati calon yang akan diumumkan apabila pilihan raya negeri berlangsung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast