Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) membatalkan cadangan membekalkan elektrik kepada pengendali pelombong mata wang kripto.

Ini kerana, ia akan memberi kesan sampingan yang serius terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, dan pemuliharaan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, cadangan bagi membekalkan elektrik kepada pelombong berkenaan itu juga tidak masuk akal kerana ia menggunakan jumlah elektrik yang banyak.

Mohideen Abdul Kader, the President of Consumers’ Association of Penang (CAP)
Mohideen.

Jelas beliau, melombong mata wang kripto membabitkan rangkaian mesin khas dikenali sebagai pelantar perlombongan yang berfungsi selama 24 jam itu boleh menggunakan 1,000 watt tenaga atau lebih apabila ia beroperasi.

Dalam kata lain, ia ibarat mesin basuh yang beroperasi siang dan malam bagi setiap penggunaan pelantar dan untuk melombong mata wang kripto, beratus atau beribu pelantar akan terbabit pada satu masa.

“Sehubungan itu, CAP berpendapat bahawa melombong mata wang kripto tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali.

“Antara sebab cadangan itu perlu dibatalkan termasuk, pada 2018, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa penjanaan elektrik negara sebahagian besarnya bergantung kepada arang batu iaitu sebanyak 46 peratus dan gas asli (39.7 peratus).

“Ia bermakna penjanaan elektrik tidak mesra alam sekitar sepenuhnya, yang menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida, gas rumah hijau serta menyumbang kepada pemanasan global,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohideen berkata, menurut TNB, pengeluaran karbon dioksida dijangka meningkat antara 2018 dan 2023 disebabkan ‘tambahan loji penjana elektrik gas dan arang batu yang baharu’.

“Dengan itu, pelepasan mutlak juga dijangka meningkat antara 2018 dan 2023, melebihi anggaran karbon.

“Jika ini ramalannya, maka pengeluaran karbon dioksida akan meningkat lebih tinggi sekiranya TNB membenarkan pelombong mata wang kripto bagi memohon secara sah untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Pelantar perlombongan itu sendiri menghasilkan begitu banyak haba dan ini menyumbang kepada pemanasan global, sepertimana amaran kajian, peningkatan suhu lebih daripada 2°C akan memberikan kesan bencana yang dasyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, TNB tidak mengambil kira masalah sisa elektronik ditimbulkan oleh pelantar perlombongan yang mempunyai jangka hayat purata 1.29 tahun, selain perkakasan yang rosak dan peningkatan pesat perkakasan.

“Daripada membenarkan pengendali perlombongan mata wang kripto memohon bekalan elektrik yang sah dan memberikan tarif istimewa, Malaysia seharusnya mempercepatkan pengenalan meter pintar kalis diusik di seluruh negara supaya sebarang kecurian elektrik boleh dikesan pada peringkat awal.

“Sehubungan itu, CAP ingin mengulangi pendirian bahawa TNB perlu mengelakkan strategi yang tidak berpandangan jauh serta akan membawa kepada peningkatan jejak karbon Malaysia, peningkatan gas rumah hijau dan sisa elektronik,” tegas Mohideen.- MalaysiaGazette