Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menggesa kerajaan Persekutuan menolak permohonan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) untuk menaikan tarif air di negeri ini.

Tong Keong berkata, cadangan menaikkan tarif air di Pulau Pinang ketika ini tidak wajar kerana ekonomi penduduk belum pulih daripada impak pandemik Covid-19.

“Selain itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP sudah beberapa kali menaikkan caj dan tarif air sepanjang 14 tahun mentadbir negeri itu .

“Dengan mencadangkan kenaikan tarif air ini, adakah kerajaan negeri mahu melihat rakyat terus hidup sengsara?

“Jadi kenaikan sekali lagi dalam tempoh terdekat tidak seharusnya berlaku jadi kita harap Kerajaan Pusat tolak permohonan yang akan dikemukakan tahun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Tong Keong, PBAPP mungkin boleh mengemukakan cadangan kenaikan tarif air pada masa yang sesuai dan bukan sekarang.

“Kerajaan negeri ketika ini harus memberi tumpuan dalam memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang. Selain itu usaha juga perlu diberikan dalam menambah baik serta meningkatkan kehidupan rakyat, bukannya membebankan dan memburukkan lagi situasi yang sedang dihadapi mereka.

“Kami menyeru rakyat Pulau Pinang agar tidak lagi memberi sokongan dan mandat kepada kerajaan DAP sekiranya mereka berkeras untuk menaikan tarif air,” tegasnya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa memaklumkan pihaknya akan memohon semakan tarif air dalam usaha untuk meningkatkan dana bagi pelaksanaan projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) bagi Pulau Pinang.

Jelas beliau, permohonan itu dibuat tahun ini dan ia akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), namun keputusannya tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, semakan tarif air terakhir di Pulau Pinang dilaksanakan pada 2015 dan PBAPP telah memohon semakan tarif air ini pada 2019. – MalaysiaGazette