Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan lain pada upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Semua ahli UMNO diminta bangkit dan tidak lagi menoleh kebelakang, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

UMNO, katanya, jatuh pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu harus bangun semula untuk memastikan parti itu menang pada PRU-15 kelak.

“Jangan menangis teresak-esak bila jatuh seperti seorang anak kecil namun kita mesti bangun dan terus bangkit seperti seorang anak jantan.

“Semangat UMNO Bangkit yg dipelopori oleh Datuk Seri Presiden telah menghasilkan banyak kejayaan,” katanya ketika berucap di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2021) hari ini.

Jelasnya, UMNO telah memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Negeri yang mana menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan wadah terakhir orang Melayu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata selepas PAU 2021 ini, ahli-ahli UMNO harus bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 kelak.

Justeru itu, jentera dinasihatkan untuk menyusun rapi pergerakan dengan langkah yang lebih berstrategik.

“Bila selesai Perhimpunan ini, maka kita mesti bersiap siaga, demi ABATA (Agama, Bangsa dan Tanah Air) bersedia untuk menghadapi peperangan politik Pilihan Raya Umum PRU-15. Jentera yang tersusun rapi dengan langkah yang berstrategi, InsyaAllah akan memberikan kita kemenangan,’ katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast