Razali Abu Samah

MELAKA – Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah akan memangku jawatan Ketua Polis Melaka bermula esok susulan persaraan wajib Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, jawatan Ketua Polis Melaka yang baharu belum diputuskan dan akan diumumkan secara rasmi oleh Bukit Aman kelak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka kepada Razali di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Bukit Beruang di sini hari ini.

Turut diadakan majlis serah tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Melaka daripada penyandangnya, Datin Nornisah Kamis kepada Datin Hamsiah Mohamad Hanis.

Sementara itu, Abdul Majid yang sudah berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun, empat bulan dan 22 hari berakhir hari ini berkata, selepas ini, beliau akan menumpukan tenaganya kepada kerja kebajikan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selama hampir 40 tahun ini, saya sudah terbiasa berdamping dengan masyarakat, sebab itu bersara, saya akan tumpu kepada NGO untuk kebajikan kepada orang ramai.

“Jiwa saya dengan masyarakat sudah sebati, tak boleh berhenti untuk terus berbakti walaupun bukan sebagai penguat kuasa undang-undang,” katanya.

Abdul Majid berkhidmat di Melaka selama 16 bulan di Melaka menggantikan Datuk Mat Kasim Karim yang bertukar ke Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman pada 16 November 2020. – MalaysiaGazette