Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak pernah mendengar dakwaan ada pemimpin UMNO dalam kerajaan yang cuba membeli bahagian untuk menyegerakan pemilihan parti itu.

Sebaliknya  jika wujud pun, ia hanya bantuan yang disalurkan bagi membantu akar umbi dan pimpinan parti sama ada untuk melancarkan perjalan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 mahu pun Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Tak timbul (cubaan bayar bahagian), misalnya bantuan-bantuan yang diberikan itu sebenarnya satu perkara yang sebahagian (tanggungjawab) meminta supaya mereka semua itu dibantu.

“Bantuan yang dikaitkan dengan pemilihan, saya tak pernah dengar lagi.

“Oleh kerana parti menghadapi PRN Johor atau perwakilan mahu datang ke Kuala Lumpur banyak pihak membantu, itu tanggungjawab kita,” katanya kepada pemberita di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat teguran kepada pemimpin negara yang dipercayai cuba membeli beberapa UMNO Bahagian untuk menyegerakan pemilihan parti itu.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 186 dari 190 bahagian UMNO telah bermesyuarat dan bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Annuar berkata, perkara yang didedahkan Ahmad Zahid mungkin sekadar pandangan semata-mata kerana tarikh pemilihan parti itu belum diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO setakat ini.

“Saya fikir itu mungkin satu pandangan yang tidak pasti apakah perkara sebenarnya sebab pemilihan belum lagi diputuskan. Bantuan dengan ada udang di sebalik batu itu misalnya saya tak dengar lagi setakat ini.

“Bagaimanapun sebagai presiden beliau memberi peringatan boleh diambil dalam bentuk yang positif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya tahu ada gerakan bayar untuk dapat sokongan bahagian – Zahid