Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Kesemua sampel sosej yang dipasarkan di Malaysia didapati mematuhi tahap yang ditetapkan selepas 207 sampel sosej di pasaran dijalankan bagi menganalisis tahap kandungan nitrit.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Salim Dulatti berkata, kajian itu dijalankan selepas Food and Drug Administration (FDA), Thailand mendapati produk sosej yang diuji mengandungi nitrit melebihi paras yang dibenarkan.

Ujian tersebut dilakukan selepas 14 orang kanak-kanak mengalami methemoglobinemia iaitu sejenis penyakit gangguan darah selepas makan sosej tersebut di negara Thailand.

Mohd Salim berkata, nitrit adalah sejenis bahan pengawet makanan yang sering digunakan dalam produk hasilan daging bagi merencatkan pertumbuhan bakteria di samping menyerlahkan warna makanan.

Pengambilan nitrit pada kadar yang berlebihan, boleh menyebabkan seseorang itu cepat merasa letih dan penat, sukar untuk bernafas, pening dan sakit kepala, berdebar-debar dan kelihatan pucat.

Di Malaysia, produk hasilan daging seperti sosej boleh mengandungi nitrit pada paras tidak melebihi 80mg/kg selaras dengan standard antarabangsa Codex.

Walau bagaimanapun, BKKM sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pihak kedutaan Thailand berkenaan produk sosej yang terlibat.

Bagi melindungi kesihatan pengguna, KKM akan meneruskan pemantauan keselamatan makanan di pasaran tempatan dan pintu masuk negara agar ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. – MalaysiaGazette