KUALA LUMPUR Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melancarkan MARii-UiTM Satellite Node, sebuah pusat penyelidikan & pembangunan (R&D) dan pembangunan bakat yang menawarkan kemudahan, alat dan peralatan bertaraf industri berfokuskan kepada sektor automotif, automasi, robotik, IoT dan bidang berkaitan bagi pemegang taruh pelbagai sektor teknologi.

MARii-UiTM Satellite Node, yang bertempat di Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI), Kolej Kejuruteraan UiTM, bertujuan untuk mengukuhkan pengembangan penyelidikan & pembangunan (R&D) Industri 4.0, mempromosi dan membangunkan rangkaian kerjasama akademik, budaya, penyelidikan dan bakat dalam sektor teknologi tempatan serta memperkukuhkan rantaian pembekal 5.0 di Malaysia.

Pencapaian matlamat MARii-UiTM Satellite Node ini akan bermula dengan pemeteraian 3 Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak, meliputi pembangunan sistem pembelajaran virtual bagi pembuatan bahan tambahan logam (metal additive manufacturing), Pengajaran & Pembelajaran Talian Lean Karakuri IR4.0 dan membangunkan model ramalan bagi melaksanakan “Pengesanan Simptom Covid-19”.

Majlis pelancaran serta Memorandum Perjanjian telah dirasmikan di antara Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Prof. (Adj) Datuk Ts. Madani Sahari.

Prof. Datuk Roziah menjelaskan perkongsian strategik ini akan memberi ruang kepada UiTM, terutamanya dalam kejuruteraan pembuatan pintar, serta kepakaran dalam bidang lain, untuk bekerjasama dengan industri berkaitan; dan pada masa yang sama melahirkan graduan yang bersedia untuk industri IR4.0 terkini.

“MARii-UiTM Satellite Node akan memberikan kedua-dua pihak dan bakal pelanggan, industri serta orang ramai, akses yang lebih baik kepada kemudahan terkini di Kolej Kejuruteraan serta kemudahan lain di seluruh UiTM.

”Hubungan dan perkongsian industri yang terjalin ini penting ,dalam memastikan penyelidikan dan inovasi serta pengajaran & pembelajaran UiTM kekal berimpak tinggi serta mampan dari aspek komersil bagi pihak industri dan komuniti bagi meningkatkan prestasi pengeluaran dan ekonomi melangkaui wabak ini,” tambahnya.

Dengan tertubuhnya MARii- UiTM Satellite Node, kedua-dua pihak sedang membangunkan kerjasama baharu, yang merangkumi program perkongsian industri melalui perundingan projek-projek di pelbagai industri, penubuhan perkongsian pengajaran-kilang melalui ruangan industri yang dikongsi, platform pembelajaran virtual bagi kursus-kursus automotif, robotik dan IoT, serta pembangunan program pasca siswazah selaras dengan Industry4WRD melalui pusat-pusat kecemerlangan MARii- UiTM ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast