Nor Sabrina Mohd Noor

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil keputusan lompat parti menyebabkan kedudukan parti atau kerajaan tidak stabil.

Bahkan menurut ADUN Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor, tindakan itu boleh menyebabkan wakil rakyat berkenaan diperlekeh dan tidak dihormati oleh pengundi lagi.

“Saya, antara yang menjadi contoh di Kedah. Pada PRU-14, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi tiga daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

“Bagaimanapun, seorang daripada kami membuat keputusan lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Dengan tindakan itu, tinggal kami berdua ADUN dari BN yang kekal setia dan menjadi pembangkang kepada 34 ADUN PH,” katanya kepada MalaysiaGazette di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas Ucapan Dasar Presiden PAU 2021, yang mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, PH yang kononnya mempertahankan prinsip integriti, sanggup ‘membeli’ wakil rakyat BN untuk melompat menyertai mereka.

Pada mereka, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, amanah rakyat boleh diperkotak katik dan mereka membina kekuatan dengan cara yang tidak bermaruah.

Tiga ADUN BN yang menang PRU-14 pada Mei 2018 ialah Norsabrina, ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail; dan DUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Menurut Norsabrina, walaupun di Kedah tinggal dua ADUN dari BN, hakikatnya mereka berdua boleh melengkapkan kuota kalau hendak menubuhkan kerajaan yang mana telah dibuktikan dengan bertukarnya kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN).

Justeru, beliau bersetuju dengan cadangan mewujudkan Akta Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast