Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan sulung beliau ke Vietnam mulai esok hingga 22 Mac 2022.

Lawatan tersebut atas jemputan Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Vietnam, kata Kementerian Luar Negeri.

Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Pham Minh Chinh bagi menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021-2025 Perkongsian Strategik Malaysia- Vietnam.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dan akan menyaksikan pertukaran dokumen termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Aktiviti Kerjasama Undang-Undang; dan MoU mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja.

Malaysia dan Vietnam turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik, yang akan dizahirkan melalui satu Surat Niat.

Di samping itu, satu Perjanjian Kerjasama Profesional antara BERNAMA dan Agensi Berita Vietnam akan turut dimeterai.

Berdasarkan program yang disusun oleh Vietnam, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Presiden Vietnam, dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam.

Ismail Sabri juga akan mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan bertemu dengan Keluarga Malaysia di Vietnam.

Lawatan Rasmi ini mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia- Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN. Kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada 2023.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, selain pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada Pejabat Perdana Menteri dan kementerian yang berkaitan akan turut serta sebagai delegasi. – MalaysiaGazette