Setiausaha Agung DAP yang baru, Anthony Loke Siew Fook melambai tangan selepas Kongres ke-17 Parti Tindakan Demokratik di IDCC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

SHAH ALAM –  Pemilihan pemimpin baharu DAP hari ini dianggap sebagai fasa baharu kepada kepimpinan parti tersebut.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang terpilih sebagai Setiausaha Agung DAP menggantikan Lim Guan Eng berkata, DAP kini dipimpin oleh generasi ketiga untuk membawa DAP ke  arah yang lebih gemilang.

“Kita ada generasi pertama seperti Lim Kit Siang yang telahpun bersara. Masih ada pemimpin generasi kedua seperti Tan Kok Wai, Lim Guan Eng yang masih berada dalam CEC.

“Tetapi mereka memberikan ruang kepada pemimpin generasi ketiga seperti saya, Gobind Singh, Nga Kor Ming, Liew Chin Tong, Steven Sim, Teo Nin Ching dan semua yang lain untuk bersama memimpin parti DAP untuk cabaran yang akan datang.

“Ini merupakan satu fasa peralihan kepimpinan daripada 2G kepada 3G. Kita melihat sebagai satu saf kepimpinan baru yang akan memimpin DAP ke era yang lebih gemilang,” kata Anthony sebaik pengumuman senarai nama pemimpin yang menjawat jawatan tertinggi dibuat.

Anthony berkata, beliau mahu membawa pendekatan yang inklusif sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung DAP.

Beliau mahu setiap pemimpin dalam parti itu memainkan peranan yang diperlukan oleh DAP.

“Saya mahu menyatupadukan seluruh kekuatan parti untuk membawa parti ke era yang lebih gemilang.

“Dalam DAP ada banyak bakat dan kekuatan pendekatan yang akan saya bawa akan meneruskan tradisi kita iaitu kepimpinan yang berkualiti dan inklusif.

“Supaya setiap pemimpin DAP sama ada dalam CEC ataupun tidak, mereka akan bersama-sama memainkan peranan untuk membawa parti menjadi lebih kuat,” katanya.-MalaysiaGazette