Seramai 10 individu dikompaun dan dua warga asing ditahan dalam serbuan di premis pusat hiburan pertama di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis menyerbu dua buah pusat hiburan di ibu negara yang didapati tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 akhir.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pada jam 12.30 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menjalankan pemeriksaan secara berasingan ke atas dua buah pusat hiburan itu yang terletak di Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang.

“Dalam pemeriksaan di premis pertama, seramai 12 orang terdiri daripada 10 warga tempatan iaitu lima lelaki, lima wanita dan dua lelaki warga asing berjaya ditahan polis.

“Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun. Kesemua 10 warga tempatan termasuk pengurus premis telah dikompaun sebanyak RM10,000 iaitu RM1,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis turut melakukan tangkapan ke atas dua warga yang bekerja di dalam premis hiburan itu dan mereka disiasat mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, kata Noor Dellhan, pihaknya telah menjalankan serbuan di premis hiburan kedua di Jalan Bukit Bintang.

Seramai 140 pengunjung yang diperiksa dalam serbuan kedua di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang tengah malam tadi dikompaun RM140,000 kerana mengingkar SOP PPN Fasa 4 yang ditetapkan. Foto IPD Dang Wangi

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu seramai 140 orang warga tempatan terdiri daripada 70 lelaki dan 70 wanita ditahan yang berusia antara 18 hingga 65 tahun dan hasil siasatan mendapati mereka telah melanggar SOP.

“Kesemua 140 warga tempatan termasuk pengurus premis telah dikompaun berjumlah RM140,000 iaitu RM1,000.00 setiap seorang mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 atas kesalahan menganjurkan aktiviti kelab malam tanpa lesen yang sah,” ujarnya. – MalaysiaGazette