Bomba Pulau Pinang menerima taklimat sebelum melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga nelayan dikhuatiri hilang di laut selepas keluar memukat ikan semalam.

PENAGA – Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar dari Pengkalan Nelayan Sungai Tembus, di sini, untuk memukat ikan sejak awal pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Firdaus Shamsudin, 34, Afzanizul Zakaria, 44, dan Rozidi Saad dikatakan menaiki sebuah bot berwarna biru dan merah keluar pada jam 5 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.46 pagi.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamatkan tiga nelayan tersebut sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, bot yang dinaiki ketiga-tiga nelayan itu dipercayai hanyut ke Langkawi atau Pulau Payar.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya memaklumkan kehilangan tiga nelayan itu.

“Tiga nelayan itu kebiasaannya akan pulang pada jam 12 tengahari selepas lapan jam berada di perairan laut, namun sehingga jam 10 malam semalam mereka dilaporkan tidak pulang ke jeti,” tulisnya. – MalaysiaGazette