Khairul Dzaimee Daud Sungai Bakap Temporary Immigration Depot in Penang Rohingya detainees riot escape
Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah bersiap sedia dari segi dokumentasi, sistem teknologi dan juga tenaga manusia untuk menghadapi pelaksanaan pembukaan sempadan negara bermula pada 1 April ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, persediaan itu  sebagai menghadapi kehadiran keluar masuk pelancong asing dan rakyat Malaysia di 136 pintu masuk negara.

Persediaan JIM dari segi dokumentasi sebenarnya sudah pun bermula sejak bulan Oktober tahun lepas ketika kerajaan dijangka membuka sempadan negara pada suku pertama tahun ini.

“Tetapi alhamdulillah ia sudah terjadi (sempadan dibuka) pada 1 April ini,” katanya dalam Program Bicara Naratif Pembukaan Sempadan secara langsung dalam RTM1 malam ini.

Tambah beliau, dalam perkembangan berkaitan, unjuran dari segi bilangan pasport perjalanan juga telah dibuat yang mana di dalam stok pihaknya sekarang pihaknya mempunyai sebanyak 970,000 bilangan buku pasport untuk rakyat Malaysia.

Menurutnya, jumlah buku pasport berkenaan adalah mencukupi sehingga bulan Jun atau Julai tahun ini.

Selepas kesemua stok buku pasport itu digunakan sepenuhnya, kata Khairul Dzaimee, proses  pengestoran semula buku pasport perjalanan yang baharu akan dilakukan.

“Berdasarkan jumlah statistik pembaharuan pasport dalam negara kita sebelum berlakunya pandemik Covid-19 yang mana ketika itu pada tahun 2019 dan 2018 contohnya jumlah rakyat kita yang memohon dan memperbaharui pasport perjalanan mereka adalah di antara 2.3 juta sehingga 2.5 juta setahun.

“Jadi dengan jumlah yang ada sekarang stok 970,000 buku pasport perjalanan ini, saya amat yakin ia mencukupi sehingga bulan Jun ini..Ini dari segi persediaan dokumentasi oleh Jabatan Imigresen,” katanya lagi.

Malah dalam pada itu beliau juga memaklumkan  persediaan lebih penting adalah dari segi sistem di pintu masuk negara.

Khairul Dzaimee menjelaskan dalam tempoh pandemik selama dua tahun terakhir ini, pintu masuk negara ditutup dari segi operasi contohnya di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur ditutup kerana negara jiran juga berbuat perkara yang sama.

Tetapi katanya, daripada segi sistem dan para pegawai yang bertugas, mereka tetap datang setiap hari dan bertugas seperti biasa.

Jelas Khairul Dzaimee, bagi pintu masuk negara yang mempunyai sistem pintu automatik atau autogate misalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sistem berkenaan diuji dari masa ke semasa sepanjang tempoh pendemik bagi memastikan ia boleh berfungsi sentiasa tanpa masalah.

“Alhamdulillah sehingga hari Ahad baru-baru ini, semua pintu masuk aotumatik di pintu masuk dan sempadan negara iaitu di KLIA ,KLIA1,  Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Johor dan juga di Sabah dan Sarawak semuanya boleh beroperasi dengan baik.

“Justeru, saya juga menyediakan semula bilangan pegawai-pegawai di kaunter-kaunter Imigresen seperti biasa sepertimana sebelum berlakunya pandemik.

“Namun saya ingin memaklumkan kadang-kadang terdapat kritikan umum kenapa kaunter Imigresen ini misalnya katakanlah ada 50 kaunter, kenapa semuanya tak beroperasi.

“Saya nak maklumkan di sini bahawa dalam keadaan sekarang ini terdapat pegawai saya yang mungkin positif.. jadi mereka terpaksa dikuarantin. Jadi untuk memastikan urusan keluar masuk itu berjalan dengan lancar di pintu masuk negara, kami akan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kaunter manual beroperasi di pintu masuk negara,” ujarnya.

Beliau menyatakan keyakinan dengan tindakan ini, ia sudah cukup untuk menguruskan kedatangan pelancong asing dan juga rakyat Malaysia yang ingin meninggalkan negara selepas 1 April ini.

Selain kaunter manual katanya, terdapat juga kaunter automatik yang tidak perlu diawasi oleh tenaga manusia seperti yang disediakan di KLIA dan di Tambak Johor akan memudahkan segala urusannya.

“Jadi persedian dari segi dokumentasi, sistem serta tenaga manusia alhamdullilah semuanya berada dalam keadaan siap-siaga menjelang pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai aspek kesihatan, pelancong dan rakyat Malaysia masih perlu patuh kepada segala prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan di pintu masuk negara.

“Para pelancong masih perlu patuh kepada segala SOP yang ditetapkan KKM (Kementerian Kesihatan) di pintu masuk negara seperti ujian PCR, RTK dan sebagainya contohnya ujian keputusan PCR yang perlu dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera itu telah ditetapkan dalam masa 48 jam sebelum kedatangan.

“Mereka tidak ada pilihan dan mesti melaksanakannya dalam tempoh tersebut dan kita tidak berkompromi di sini kerana kita masih lagi berhadapan dengan pandemik yang mana risikonya masih ada.

“Saya mengakui mungkin akan ada sedikit bebanan kepada orang ramai semasa berurusan di kaunter dan sebagainya tetapi itulah yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia,” tegasnya.-MalaysiaGazette