Rais Yasin

MELAKA – Kadar kepadatan pelajar dalam kelas di Melaka berada pada tahap membimbangkan berikutan pertambahan pelajar khususnya melibatkan murid sekolah rendah.

Kebimbangan itu didedahkan Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin yang mana terdapat sekolah mencatatkan purata pelajar kelas Tahun 1 mencecah 40 murid ditempatkan dalam satu kelas berbanding sepatutnya 25 orang.

Menurutnya, keadaan itu akan menyukarkan murid mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal bagi mengekang penularan Covid-19.

“Keadaan ini membimbangkan kita kerana dalam keadaan sepadat itu, 39 murid secara purata dalam satu kelas berbanding sepatutnya 25 orang, sukar untuk memastikan pembelajaran dalam suasana patuh SOP.

“Itu baru di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, saya yakin dan percaya ada dalam kalangan 238 buah sekolah rendah dan 77 sekolah menengah seluruh Melaka juga ada menghadapi masalah yang sama.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah dimaklumkan masalah ini, malah saya dalam usaha bertemu dengan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagi menyuarakan kebimbangkan ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan 2022/2023 di SK Paya Rumput, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bilangan sekolah yang menghadapi masalah itu, Rais berkata, beliau masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Saya dah minta pihak JPN dan guru-guru sekolah terlibat menyiapkan laporan dan insya-Allah mungkin dalam minggu ini boleh siap sebelum saya bentangkan isu ini kepada menteri.

“Kita akan cuba bantu sebaik mungkin demi keselesaan dan keselamatan anak-anak kita menjelang fasa endemik bermula 1 April ini,” katanya.

Sesi persekolahan 2022/2023 di Melaka bermula 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023 membabitkan 84,619 orang murid sekolah rendah. – Bernama