RSN Rayer

KUALA LUMPUR – RSN Rayer (Ahli Parlimen Jelutong-PH) hari ini berkali-kali mengganggu sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021 oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Rayer yang bangkit mencelah penggulungan RUU tersebut mahu tahu pendirian Awang yang mewakili Pas di Parlimen mengenai isu larangan pemakaian tudung di Karnataka, India.

“Apa pendirian Pas atas isu kanak-kanak di Kanataka yang dilarang memakai hijab?” soal Rayer di Dewan Rakyat hari ini.

Celahan Rayer itu dibuat tatkala perbahasan Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang-PH) berkaitan pemakaian hijab oleh pekerja wanita di negara ini.

“Saya ada bangkitkan dalam perbahasan (Ahli Parlimen) Sepang tadi, jadi saya ingin mengetahui apa pendirian Timbalan Menteri (Datuk Awang Hashim) dan Pas berhubung perkara ini, adakah kerajaan akan memanggil Duta India berhubung keputusan Mahakamah Karnataka, India mengenai larangan pemakaian tudung di sekolah di sana,” katanya lagi.

Tenang menjawab pertanyaan itu, Awang berkata, pindaan RUU itu jelas membincangkan mengenai pekerja dalam negara sahaja dan enggan mengulas lanjut mengenai provokasi tersebut.

“Sekarang ini kita bincang perlindungan pekerja kita namun memakai tudung ini berbeza dengan menutup aurat, ini dua perkara yang berbeza.

“Perkara ini lain daripada pindaan yang ada, saya tidak mahu sentuh termasuk isu di India,” jawab Ahli Parlimen Pendang itu.

Malaysia buat masa ini belum membuat sebarang kenyataan mengenai isu larangan pemakaian tudung di Karnataka, India. – MalaysiaGazette