Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan gambar yang digunakan suspek di media sosial untuk memperdayakan mangsa.

GEORGE TOWN – Gara-gara mempercayai seorang lelaki yang hanya dikenali menerusi media sosial, seorang wanita warga emas kerugian RM3.9 juta selepas menjadi mangsa sindiket Love Scam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mangsa berkenalan dengan lelaki tersebut pada Disember lalu melalui aplikasi Instagram sebelum melanjutkan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp.

Jelas beliau, suspek memperkenalkan diri sebagai seorang lelaki warga Korea selain mendakwa bekerja dalam industri minyak dan gas.

“Bagi menyakinkan mangsa, suspek turut berkongsi videonya ke tempat kerja sebelum menawarkan mangsa untuk menyertai sebuah projek dan mendakwa memerlukan sejumlah wang untuk projek tersebut.

“Sepanjang tempoh perkenalan mangsa menyerahkan wang kepada suspek berjumlah RM3.9 juta dengan 184 transaksi menerusi 19 akaun bank tempatan.

“Transaksi dilakukan dengan jumlah terhad antara RM9,000 hingga RM50,000 bagi mengelak dikesan pihak bank,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, mangsa menyedari tertipu selepas curiga melihat foto suspek ketika melayari internet sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, pada 17 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati RM3.9 juta itu adalah hasil simpanan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan.

“Sehubungan itu, sekali lagi saya ingin ingatkan orang ramai agar ber’whatsapp’ dengan individu yang dikenali menerusi media sosial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan scam.

“Siasatan berhubung kes itu masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette