Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir sambung prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan tidak boleh membuta tuli mengikut rentak pasukan pendakwaan menyoal saksi-saksi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan berkata, anak guamnya tidak bersalah, sebaliknya menjadi mangsa keadaan yang mana barisan pengurusan 1MDB adalah pelaku sebenar penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik itu.

Katanya, ini menyebabkan pihaknya terpaksa bertanyakan pelbagai soalan sukar, berulang atau isu sukar membabitkan banyak dokumen.

“Ini bukannya satu kes yang boleh buka atau tutup begitu sahaja. Kita (pasukan pembelaan) tidak boleh sekadar bertanyakan soalan balas seperti yang diharapkan oleh pendakwaan.

“Apa yang berlaku adalah pelaku lain yang lakukan penyelewengan tetapi anak guam kami pula menghadapi yang begitu banyak pertuduhan.

”Namun saya akan ambil maklum apa yang Yang Arif katakan tapi kes ini begitu kompleks sekali,” katanya.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MAC 2022.

Beliau berkata demikian selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menegur beberapa soalan yang sudah dijawab bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Terdahulu, ketua pasukan pendakwaan, Datuk Sri Gopal Sri Ram bangkit melahirkan rasa tidak senang dengan beberapa soalan yang cuba dikemukakan kepada Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail.

Sri Ram berkata, beliau telah lama bersabar dengan sesi soal balas hari ini yang banyak membuang masa mahkamah.

“Pembelaan perlulah tanya soalan yang relevan, sebaliknya banyak bertanya sesuatu yang saksi sebelum ini sudah jawab semua persoalan itu.

“Jadi kenapa mahu buang masa mahkamah, saya sedang cuba jimatkan masa ketika ini. Kenapa terus bangkit apabila ianya sudah dikemukakan?,” soalnya.

1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Collin yang bersetuju dengan pendapat Sri Ram menegur pasukan pembelaan namun Muhamad Shafee menegaskan peranan Shahrol Azral perlu disahkan ketika beliau berada dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

“Soalan berulang seperti ini kepada saksi hari ini sedangkan soalan sama sudah dikemukakan kepada saksi terdahulu malah keterangan sudah direkodkan dan tiada pertikaian.

“Jangan asyik minta saksi sahkan apa yang sudah ada dalam keterangan saksi itu. Kamu hanya tanya apa yang kamu hendak dan berhujah tentangnya. Ini seperti tidak berkesudahan jika seperti ini,” kata Collin.

Saksi, Tan Sri Ismee hadir sambung prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MAC 2022.

Dalam pada itu, Ismee bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Shahrol Azral tidak sepatutnya dibiarkan berseorangan memberi penerangan atau perincian yang mana beliau mampu mengelirukan pelbagai perkara kepada barisan lembaga pengarah.

Prosiding bersambung esok – MalaysiaGazette