Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman minta Dewan Rakyat merujuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Jawatankuasa Khas Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

Mohd Azis, wakil rakyat Parti Warisan Sabah (Warisan) menyatakan, kenyataan mengelirukan itu berkaitan dengan pemberian 40 peratus pungutan cukai kepada Sabah tidak lagi terpakai.

Sedangkan kata beliau, Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili menyatakan, pengguguran itu masih dalam perbincangan.

“Saya ada mengutus surat kepada Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkenaan kenyataan yang mengelirukan dewan oleh Menteri Kewangan dalam sesi penggulungan sebelum ini.

“Dalam jawapan itu, Tengku Zafrul menyatakan bahawa 40 peratus punggutan cukai yang diberikan kepada Sabah sudah tidak lagi terpakai.

“Di tangan saya ini merupakan hansard yang saya sudah semak dan juga kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang menyatakan bahawa pengguguran itu masih dibincangkan,” katanya di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, apabila melihat pada hansard dan juga tidak ada pembetulan dibuat oleh Menteri Kewangan, maka beliau mencadangkan agar Tengku Zafrul dirujuk ke Jawatankuasa Khas kerana telah mengelirukan dewan.

Ini penting, tegas beliau, kerana apabila menyentuh mengenai isu perlembagaan, khususnya melibatkan Perjanjian Malaysia 1963, ianya merupakan satu perjanjian yang tidak boleh diubah sewenang wenangnya.

“Kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Kewangan secara jelas telah melukakan hati rakyat Sabah apabila menyatakan dengan jelas, baik dalam jawapan lisan dan juga dalam sesi penggulungan, ianya tidak lagi terpakai.

“Sedangkan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak telah menafikan dan menyatakan ianya tidak ada pun dibincangkan dan hansard di tangan saya ini adalah bukti.

Oleh itu, kata Mohd Azis, percanggahan dalam jawapan kedua-dua menteri berkenaan mengelirukan dewan. – MalaysiaGazette