Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Usaha menyelamat dan mentransformasi golongan gelandangan di ibu kota dengan hasrat supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan kembali ke masyarakat sentiasa diteruskan.

Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kementeriannya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai jabatan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa komited dalam usaha itu.

Kata beliau, pada tahun 2021, jumlah gelandangan dianggarkan 700 hingga 900 orang yang dikenalpasti melalui rekod keluar masuk gelandangan yang menginap di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Jumlah itu juga direkodkan menerusi pendaftaran gelandangan semasa agihan makanan dan bantuan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku serta operasi menyelamat oleh DBKL.

“Dalam operasi ini, DBKL mengadakannya dengan kerjasama polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya di Parlimen, hari ini.

Beliau menyatakan, inisiatif menyelamat gelandangan oleh kementeriannya sejajar dengan matlamat ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan kumpulan gelandangan mempunyai akses kepada tempat perlindungan sementara dan makanan.

Selain penyediaan akses itu, katanya, usaha menyelamat juga diteruskan melalui program pembangunan bina upaya di Pusat Transformasi Gelandangan atau Anjung Kelana di Taman Desa, Kuala Lumpur.

Pusat itu diselaras dan dilaksanakan untuk membina pembangunan sahsiah diri dengan menjalani latihan kemahiran tambahan bagi memastikan mereka dapat kembali kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi.

“Antara program yang dilaksanakan seperti program asas pertanian, percetakan, kraftangan dan urutan refleksologi.

“Selain itu, kementerian juga bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja dan PERKESO serta syarikat swasta dengan menawarkan peluang pekerjaan di sektor perkilangan, pembuatan, makanan, peruncitan dan perkhidmatan melalui Program Penempatan Pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette