KUALA LUMPUR – Tiga pengarah syarikat kejuruteraan direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bernilai lebih RM650 juta.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 43 hingga 52 tahun yang bermula hari ini sehingga 27 Mac itu dikeluarkan Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Bagaimanapun menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua lagi suspek lelaki berusia 54 dan 63 tahun yang merupakan bekas pengarah syarikat kejuruteraan tidak direman atas faktor kesihatan.

“Namun begitu, kedua-dua suspek diperintah hadir ke Pejabat SPRM setiap hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, dua bekas pengarah syarikat kejuruteraan tersebut termasuk seorang bergelar Datuk dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM27 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan lain sebagai balasan melantik syarikat terbabit sebagai perunding untuk projek berkenaan pada tahun 2017.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009, ujarnya. – MalaysiaGazette