Zuraida menyaksikan penyerahan dokumen MSPO 2022 dari Pengarah Urusan Standard Malaysia Shahrul Sadri Alwi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

PUTRAJAYA – Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 dilancarkan hari ini bagi menghapuskan prejudis terhadap minyak sawit terutama di Amerika Syarikat dan Eropah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pensijilan itu merupakan penambahbaikan daripada Siri Standard MS2530:2013 MPSO pertama.

Menurut beliau, MSPO 2022 mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global dan memperimbangkan kebolehgunaan terhadap industri minyak sawit.

Turut dimasukkan dalam MPSO 2022 adalah keperluan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu seperti tiada penebangan hutan, gambut dan eksploitasi (NDPE) dan Tadbir Urus Alam Sekitar, Sosial (ESG).

“Terdapat tiga elemen yang ditambah ke dalam MSPO 2022 iaitu kitaran ekonomi, buruh paksa dan penempatan pekerja ladang.

“Dengan adanya usaha ini menunjukkan Malaysia berusaha untuk mengatasi masalah dan aduan yang dibuat oleh Amerika dan Eropah. Kita menentangnya kerana tidak berasas.

“Namun demikian kita tetap meningkatkan mutu pengurusan dan piawaian dari semasa ke semasa,” kata Zuraida dalam sidang media selepas melancarkan MSPO 2022, di sini, hari ini.

Beliau turut menyaksikan penyerahan dokumen berkaitan MSPO 2022 dari Pengarah Urusan Standard Malaysia Shahrul Sadri Alwi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

MSPO merupakan skim pensijilan nasional di Malaysia untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit.

Pensijilan tersebut diperlukan untuk memastikan produk sawit Malaysia yang dihasilkan adalah mampan dan dapat diterima di pasaran global.

“Kita ada beberapa kempen untuk mempromosikan MSPO 2022 di luar dan dalam negara. Luar negara apabila kita melakukan misi minyak sawit dan mahu memastikan mereka tidak lupa akan kualiti minyak sawit Malaysia dan kita telah mencapai standard yang tinggi.

“Barang-barang yang diperbuat daripada sawit juga akan diletakkan dengan label MSPO 2022,” kata Zuraida.

Sehingga kini 85 peratus daripada ladang sawit di negara ini telah memiliki MSPO yang dikeluarkan Jabatan Standards Malaysia.

Mengenai perancangan bagi mempromosikan dan meningkatkan pasaran minyak sawit negara ke peringkat global, Zuraida berkata, pihaknya akan melakukan lawatan kerja ke Pakistan dan Turki minggu depan.

“Sebagai persediaan sebab ketika Covid-19 pengeluaran kita adalah sangat kurang. Tapi apabila pasaran dibuka dan buruh mula masuk kita kena pastikan bahawa pasaran kita masih dikehendaki oleh negara luar.

“Dan kita lihat memang sudah ada minat daripada negara-negara ini. Malah mereka telah datang berjumpa dengan saya bercerita tentang sawit untuk meminta kita pergi ke negara mereka,” katanya.

Tambah Zuraida, pihaknya juga akan meneroka pasaran di Kazakhstan, Afganistan dan beberapa negara Asia Tengah lain. – MalaysiaGazette