KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung pembocoran maklumat membabitkan tender Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bernilai lebih RM1.2 juta.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kedua-dua suspek ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya semalam.

Menurutnya, perintah reman bermula hari ini sehingga 27 Mac ini dikeluarkan Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap kedua-dua suspek yang berusia 44 dan 42 tahun di Mahkamah Majistret, Putrajaya, pagi ini.

Difahamkan, suspek wanita yang merupakan seorang pengarah dan terbabit dalam pemilihan kontrak LLM dipercayai membocorkan maklumat tender bernilai RM1.2 juta kepada suaminya sebagai balasan syarikat milik suaminya dilantik sebagai sub kontraktor kepada satu lagi syarikat yang berjaya mendapat projek berkaitan sistem elektronik pada tahun 2020.

Kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette