Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Serii Nancy Shukri menurunkan tandatangan bagi pelancaran Perancangan Perniagaan MySafe pada Program Hari Persatuan MyCEB di Pusat Pameran dan Dangangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) akan menawarkan perlindungan insurans penuh Covid-19 kepada 10,000 delegasi antarabangsa pertama yang hadir pada persidangan di negara ini.

Menteri Pelancongan , Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha itu bagi menetapkan semula industri dalam usaha menggalakkan delegasi luar untuk terus memilih Malaysia sebagai lokasi acara perniagaan pilihan.

Jelas beliau, dengan mengambil kira keperluan perjalanan semasa untuk perwakilan antarabangsa, golongan itu mesti mempunyai perlindungan insurans Covid-19.

“Saya dimaklumkan bahawa penerima pertama perlindungan insurans adalah delegasi yang hadir pada Simposium Asia Turbomachinery & Pump (ATPS) yang akan diadakan pada Mei dengan anggaran 800 orang.

“Ini adalah satu permulaan yang baik,” katanya ketika berucap pada MyCEB Associaton Day di MITEC hari ini.

Nancy menambah, untuk menggalak dan membantu lagi rakan kongsi industri acara perniagaan menetap semula perniagaan dan mendapat momentum, MyCEB juga akan menampung sebahagian daripada kos untuk pemain industri mengambil bahagian di pameran perdagangan antarabangsa.

Kata beliau, ia melibatkan IMEX Jerman, ibtmWorld Sepanyol dan IMEX Amerika.

“Untuk ini, MyCEB akan membawa sekurang-kurangnya 10 pemain industri untuk menghadiri setiap pameran perdagangan dan diharapkan mendapatkan petunjuk perniagaan, kontrak dan seterusnya menjamin acara untuk Malaysia.

“Insya-Allah, saya juga akan menghadiri IMEX Frankfurt serta sangat berminat untuk menjadi sebahagian daripada Forum Dasar Global itu,” katanya.

Nancy memberitahu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, MyCEB turut akan membantu pemain industri untuk mendapatkan kelayakan profesional antarabangsa lain yang tersedia untuk industri ini.

“Semoga dengan usaha ini, industri acara perniagaan negara ini akan lebih dikenali di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“MyCEB juga telah bersetuju untuk menyokong syarikat mengekalkan keahlian mereka dalam persatuan industri utama seperti MACEOS, AFECA, ICCA, UFI, IAPCO dan lain-lain dengan mensubsidi yuran keahlian,” katanya. – MalaysiaGazette