Kerajaan hari ini gagal meminda usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini gagal meminda usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ia berlaku apabila kerajaan tidak mempunyai jumlah undi yang mencukupi di dalam dewan apabila undi belah bahagi dijalankan.

Ia setelah undi belah bahagi diluluskan Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor apabila Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan-PH) memohon untuk undian belah bahagi dibuat.

“Keputusan untuk undi belah bahagi bagi usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin). Yang bersetuju adalah 84, tidak bersetuju 86 manalaka tidak hadir 50 ahli Parlimen maka usul ini tidak dipersetujui,” kata Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, Azhar Azizan menempohkan selama 10 minit untuk proses pengundian belah bahagi dijalankan.

Keputusan itu disambut laungan gembira daripada blok pembangkang.

Sebelum ini 20 ahli Parlimen dibenarkan untuk membahaskan pindaan itu dengan jelas menyaksikan blok pembangkang menolak pindaan berkenaan dan blok penyokong kerajaan setuju ia dipinda.

Kerajaan hari ini mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Antara pindaan itu adalah melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

Hamzah semasa membentangkannya berkata, pelanjutan selama lima tahun lagi mulai 31 Julai depan perlu bagi membolehkan pihak berkuasa  terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Untuk rekod, sejak 2016 sehingga Januari 2022, seramai 3,717 individu ditahan mengikut SOSMA, dengan 400 daripadanya ditahan kerana terbabit elemen kumpulan pengganas, 321 terbabit aktiviti sindiket penyeludupan manusia, 1,838 kerana kesalahan pemerdagangan manusia dan 1,030 di bawah kesalahan jenayah terancang.

SOSMA juga digunakan untuk menghukum pengganas yang menyerang Sabah yang dilancarkan Jamalul Kiram III pada 2013, dengan 551 individu ditahan mengikut SOSMA, 31 individu dituduh dan lapan daripadanya dihukum gantung sampai mati. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak setuju pindaan SOSMA beri ruang penjenayah bermaharajalela – Hamzah