ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Mayat awak-awak warga Thailand yang dipercayai lemas selepas terjatuh dari bot nelayan ke dalam Sungai Kuantan pagi kelmarin ditemui pasukan penyelamat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat Muhammad Adnan, 29, yang lengkap berpakaian ditemui kira-kira 30 meter dari tempat kejadian pada pukul 10 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat berhasil pada hari kedua pencarian dengan bantuan agensi penyelamat dan nelayan berhampiran,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebaik sahaja bot sedang mengundur semasa melakukan kerja mengangkut ais ke dalam tong.

Tekong telah mengarahkan tiga orang awak-awak terjun ke sungai bagi menyelamatkan mangsa namun mangsa gagal ditemui memandangkan arus yang deras kerana air baru pasang.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette