Saksi yang merupakan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail bersetuju pengurusan syarikat pelaburan strategik negara itu telah memperdayakan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ismee berkata, terdapat kemungkinan bekas Perdana Menteri itu dan Lembaga Pengarah 1MDB telah diperdaya oleh sekumpulan individu dalam pengurusan 1MDB untuk menyertai perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Pihak pengurusan itu ialah bekas peguam syarikat, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang bertindak atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ismee menyatakan demikian selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan kertas cadangan yang dikemukakan oleh mereka yang terbabit itu sangat terperinci sehingga boleh menyakinkan semua termasuk Najib.

Muhammad Shafee bertanya kepada Ismee sama ada beliau berpendapat sama seperti Shahrol Azral bahawa kertas itu telah disediakan setelah diarahkan Jho Low yang turut mendakwa ia merupakan arahan Najib.

“Saya tidak fikir Datuk Najib ada masa sediakan kertas cadangan itu untuk menipu, saya tidak rasa mana-mana Perdana Menteri mempunyai masa untuk melakukannya,” kata Ismee di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berhadapan dengan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion milik 1MDB.

Saksi ke 13 perbicaraan 1MDB itu turut bersetuju Najib tidak mempunyai sumber dipercayai untuk memberi maklumat dalam sesi taklimat kepada mereka adalah betul atau sebaliknya.

Malah Ismee berkata, selain Najib, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga tidak mempunyai sumber untuk maklumat-maklumat itu.

Ismee juga memberitahu, beliau tidak pasti jika semua maklumat yang telah disampaikan kepada Najib adalah sama dengan maklumat diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB sebelum perjanjian itu ditandatangani.

Usahasama antara 1MDB dan PSI yang dikenali sebagai projek Aria menyaksikan 1MDB meminjam AS$1 bilion untuk melabur dalam syarikat usahasama, 1MDB Petro Saudi Limited.

Sementara itu, Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang membaca penyataan pembukaan mendakwa ia adalah usaha sama palsu yang diwujudkan Najib.

Katanya, dana itu dikatakan untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama yang mana PSI menguasai 60 peratus kepentingan dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai yang diragukan.

Menurut Sri Ram, usaha sama itu tidak dijalankan dengan PSI, sebaliknya melalui syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd. dan Tariq Obaid (kenalan Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi Holding (Cayman).

Berikutan itu, perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta, yang berpunca daripada pindahan dana 1MDB kepada syarikat milik Jho Low iaitu Good Star Ltd yang menyebabkan bebanan hutang, ujarnya.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette