Hannah Yeoh SOSMA PH UMNO MPs absent
Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menempelak kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap penolakan Pakatan Harapan (PH) terhadap pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, pemimpin UMNO itu seharusnya bertanya kepada ahli Parlimen di blok kerajaan yang tidak hadir ke Parlimen pada pembentangan sesi tersebut.

“Tok Mat, check hansard tengok list (senarai ahli Parlimen) UMNO sendiri berapa ahli Parlimen tidak hadir sidang menyebabkan usul kerajaan tak jadi lulus.

“Pemimpin yang baik akan perbaiki kelemahan rumah sendiri sebelum menuding jari kat orang lain,” kata Hannah menerusi ciapan di Twitternya.

Hanna Bersama 85 ahli Parlimen di blok pembangkang semalam menolak usul SOSMA yang mana usul ini bukan sebahagian daripada perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

Mereka juga mendakwa penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut.

Menerusi undian belah bahagi semalam, usul berkenaan hanya disokong oleh 84 ahli Parlimen yang hadir dan 86 tidak bersetuju manakala 50 lagi tidak hadir.

Terdahulu, Mohamad menerusi hantaran di Facebook berkata, kerajaan perlu menilai semula kedudukan kerjasama dan MoU bersama PH selepas pembangkang menentang usul SOSMA ini.

Beliau menyifatkan kegagalan itu memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kegagalan usul ini adalah sesuatu yang tidak dijangka tetapi ia menunjukkan sikap sambil lewa bahawa rang undang-undang sepenting ini tidak diuruskan dengan strategik sebelum di bentangkan. -MalaysiaGazette